Isnin, 2 Januari 2012

PANTUN KASIH / SAYANG / CINTA

Abang makan hendak berhidang, 
Memakai kain berbelah tepi; 
Di dalam merana cinta datang, 
Air mata jatuh ke pipi. 

Abang mudik pergi ke Daru, 
Datang Daru teruslah ke Matu; 
Orang lain saya tak hirau, 
Hirau tak hirau kakanda satu. 

Ada kain lupa ke baju, 
Konon baju layu dah bunga; 
Ada lain lupakan aku, 
Kerana aku orang dah hina. 

Ada rasa berisi pandan, 
Hendak menganyam tikar sembahyang; 
Tujuh syurga di dalam badan, 
Di situlah tempat berkasih sayang.

Adik menumbuk alunya tiga, 
Patah satu tinggal dua; 
Adik tunduk malukan siapa? 
Malukan abang tunang biasa.

Air dalam bertambah dalam, 
Hujan dahulu belumlah teduh; 
Hati dendam bertambah dendam, 
Luka dahulu belumlah sembuh. 

Air hangat telaga mendidih, 
Banyak orang hilang keramat; 
Hemat-hemat lagu nak boleh, 
Tengok adik jinak sangat. 

Air keruh telaga keruh, 
Air kunyit pencuci kaki; 
Adik jauh abang pun jauh, 
Tidur seminit dimasuk mimpi.

Air mawar jatuh ke laut, 
Gulai itik sama belangkas; 
Apa soalnya tidak disahut, 
Adinda belum tahu membalas. 

Air pasang dayung sampan, 
Angin turun baik layarkan; 
Tahu makan tahu simpan, 
Rahsia jangan tuan khabarkan. 

Air selepak di dalam talam, 
Air geluk mandi dihabisi; 
Tidur tersentak di tengah malam, 
Bantal dipeluk ditangisi. 

Ajuk-ajuk pemarang Jawa, 
Jawa dari sebelah bukit; 
Jangan merajuk mahkota jiwa, 
Tidak kurasa salah sedikit. 

Akar nibung meresap-resap, 
Akar mati dalam perahu; 
Terbakar kampung nampak berasap, 
Terbakar hati siapa yang tahu. 

Akar tanjung pagar selasih, 
Balung kulit berisi serai; 
Alangkah teruk menanggung kasih, 
Tak sebab kulit tulang bercerai. 

Ambil buluh dibuat sasak, 
Nak dipagar batas bertenang; 
Akulah hodoh bertambah sesak, 
Tak ada siapa yang nak kenang. 

Ambil lidi menyapu halaman, 
Burung tekukur memakan padi; 
Berjanji mati di tapak tangan, 
Hendak berkubur di hujung jari. 

Ambil pisau pengait sirih, 
Sirih ada di tengah laman; 
Jangan sesal tidak boleh, 
Kerana tidak ada pertemuan. 

Anak Cina memasang lukah, 
Lukah dipasang di kayu jati; 
Kasih sayang tidak berpisah, 
Ibarat rambut bersimpul mati. 

Anak Cina menjual kesuma, 
Mari dijual di Pekan Rabu; 
Makan tak lalu tidur tak lena, 
Teringat tuan saban waktu. 

Anak Damak dalam hutan, 
Hendak menyumpit di tengah hari; 
Alangkah sedih serta kasihan, 
Sedangkan bertunang haram tak jadi. 

Anak dara di tebing sungai, 
Duduk menjerat ketam batu; 
Manis rupa elok perangai, 
Tolong pilih yang mana satu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan